Presidennya, Nurammar Abu Bakar berkata, persatuan pada 2012 telah menerima peruntukkan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan dan sehingga tahun ini jumlah eksport yang berjaya direkodkan oleh ahli-ahli persatuan bernilai RM700 juta. Katanya, eksport itu adalah dalam segmen makanan dan minuman (F&B) selain kejuruteraan, kandungan, minyak dan gas (O&G) dengan pasaran utama adalah Asia Barat. “Dana yang diperuntukkan pada 2012 hampir habis, dan kami mengharapkan kerajaan menilai prestasi eksport yang telah dicatatkan untuk sekali lagi memberi peruntukkan kepada kami. “Kami telah membuat permohonan ini kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah,” katanya kepada pemberita selepas Forum Pasca Bajet 2016 bertajuk Apa Untuk Usahawan Bumiputera di sini, kelmarin. Turut hadir ialah Ahmad Husni; Penaung PPIPBM, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (I) SME Corporation Malaysia, Isham Ishak.