PENGILANG telah mengadakan kunjungan rasmi yang berjaya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)
bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan UAE. Delegasi ini telah
menjalin hubungan yang lebih erat dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Dubai Chamber
of Commerce yang berperanan penting dalam memajukan perdagangan dan pelaburan di antara
kedua-dua negara.
Pertemuan pertama delegasi AJK PENGILANG yang diketuai oleh Presiden PENGILANG, Datuk
Azman Yusof telah berlangsung dengan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Encik Mohd Fadly bin
Amri. Perbincangan yang produktif telah menekankan pada potensi kerjasama dalam
mengembangkan produk-produk Malaysia di pasaran UAE yang semakin meningkat. Selain itu,
isu-isu kekangan yang dihadapi oleh syarikat Malaysia dalam mengakses pasaran UAE turut
mendapat perhatian serius.
Program-program yang akan dijalankan di Dubai untuk mempromosikan usaha-usaha ekonomi dan
perdagangan telah diumumkan, menggambarkan komitmen PENGILANG dalam memperluaskan
pasaran.
Sesi kedua melibatkan Persatuan PENGILANG bertemu dengan wakil dari Dubai Chambers.
Perbincangan ini memberi fokus kepada potensi sinergi ekonomi dan industri di antara Malaysia
dan UAE. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Encik Mohd Fadly
bin Amri, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Dubai, Encik Megat Iskandar Ahmad Dassilah,
serta Penolong Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Dubai, Cik Haslinda Hassan.
Dubai Chambers pula diwakili oleh H.E. Mohammed Lootah, Presiden dan CEO; Salem Alshamsi,
Naib Presiden – Pasaran Global; Marwan AlMarri, Pengarah Wilayah (Asia) – Pasaran Global; dan
Sumaya AlShamsi, Pengarah – Perhubungan Strategik dan Protokol. Perbincangan ini telah
menegaskan tekad untuk menguatkan lagi kerjasama dalam memperluas perdagangan dan
pelaburan antara Malaysia dan UAE.
Kunjungan ini adalah langkah positif dalam mempererat hubungan ekonomi antara Malaysia dan
UAE. PENGILANG dengan kerjasama Dubai Chambers berharap untuk mengukuhkan lagi
hubungan ini melalui pelbagai inisiatif dan program-program yang akan datang.



