Skip to content
  • Hubungi Kami
  • Organisasi
    • Visi Misi
    • Inisiatif Baharu
    • Senarai Biro
    • Perlembagaan
  • Buletin
Daftar Ahli

PERLEMBAGAAN BAGI PERTUBUHAN INDUK PERSATUAN PENGILANG & INDUSTRI PERKHIDMATAN BUMIPUTERA MALAYSIA (PPIPBM) (PPM-007-14-27061987)

19
  • FASAL 1 NAMA
  • FASAL 2 TEMPAT URUSAN
  • FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT
  • FASAL 4 KEAHLIAN
  • FASAL 5 PERBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
  • FASAL 6 SUMBER KEWANGAN
  • FASAL 7 MESYUARAT AGUNG
  • FASAL 8 JAWATANKUASA
  • FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
  • FASAL 10 KEWANGAN
  • FASAL 11 JURUAUDIT
  • FASAL 12 PENTADBIR HARTA / PEMEGANG AMANAH
  • FASAL 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN
  • FASAL 14 PENASIHAT / PENAUNG
  • FASAL 15 LARANGAN
  • FASAL 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN
  • FASAL 17 PEMBUBARAN
  • FASAL 18 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA
  • FASAL 19 DEFINASI
View Categories

FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

9.1 Presiden

9.1.1 Menjadi Ketua Persatuan yang bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan Persatuan.

9.1.2 Melantik Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari Kehormat dan dua (2) orang Ahli Jawatankuasa Agung Biasa yang lain seperti diperuntukkan di bawah Fasal 8.2.5, 8.2.6, 8.2.7, 8.2.9 dan seterusnya beliau hendaklah bertanggungjawab di atas kesempurnaan perjalanan tugas-tugas mereka itu masing-masing.

9.1.3 Bertanggungjawab atas semua pegawai-pegawai PPIPBM.

9.1.4 Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Mesyuarat Jawatankuasa Agung dan Mesyuarat Agung Persatuan.

9.1.5 Presiden boleh dari semasa ke semasa atau pada bila-bila masa menjemput mana-mana orang perseorangan sama ada ahli Persatuan atau pun tidak untuk hadir bersama di dalam mana-mana Mesyuarat Jawatankuasa Agung bagi maksud menyumbangkan fikiran dan pendapatnya mengenai sesuatu perkara yang dibincangkan oleh mesyuarat berkenaan dengan syarat orang yang dijemput itu tiada hak mengundi.

9.1.6 Jika sesuatu kekosongan berlaku bagi mana-mana jawatan pegawai Persatuan, Presiden setelah berunding dengan Jawatankuasa Agung hendaklah melantik gantinya daripada Ahli Jawatankuasa Agung atau ahli-ahli biasa untuk memenuhi jawatan yang kosong itu. Sekiranya Jawatankuasa Agung dilantik memenuhi kekosongan tersebut, Jawatankuasa Agung perlu melantik gantinya dari Ahli Biasa untuk memenuhi jawatan yang kosong itu.

9.1.7 Jika jawatan Presiden menjadi kosong oleh apa-apa sebab juapun, maka Jawatankuasa Agung berkuasa memilih seorang daripada mereka untuk memenuhi jawatan Presiden sehingga pemilihan diadakan mengikut Fasal 8. Sebelum Jawatankuasa membuat pemilihan itu, Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan tersebut. Sekiranya Timbalan Presiden menolak pelantikan sebagai Pemangku Presiden, maka Jawatankuasa Agung dibenarkan untuk memilih seorang dari mereka untuk memangku jawatan Presiden sebelum membuat pemilihan Presiden baru.

9.2 Timbalan Presiden

9.2.1 Membantu tugas-tugas Presiden.

9.2.2 Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Mesyuarat Jawatankuasa Agung dan Mesyuarat Agung apabila Presiden tidak hadir.

9.3 Naib Presiden I dan Naib Presiden II dan Naib Presiden III

9.3.1 Membantu tugas-tugas Presiden dan Timbalan Presiden.

9.3.2 Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Mesyuarat Jawatankuasa Agung dan Mesyuarat Agung sekiranya Presiden dan Timbalan Presiden tidak hadir.

9.4 Setiausaha Agung

9.4.1 Bertanggungjawab secara langsung kepada Presiden.

9.4.2 Mentadbir perjalanan Ibu Pejabat Persatuan.

9.4.3 Bertanggungjawab melaporkan kepada Presiden segala tindakan yang dijalankan berhubung dengan pentadbiran Persatuan dan memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Mesyuarat Jawatankuasa Agung dengan persetujuan Presiden.

9.4.4 Bertanggungjawab atas kesempurnaan Mesyuarat Jawatankuasa Eskekutif, Mesyuarat Jawatankuasa Agung dan Mesyuarat Agung.

9.4.5 Menyediakan penyata tahunan yang menerangkan pekerjaan dan kemajuan Persatuan dalam masa setahun ke setahun kepada Jawatankuasa Agung dan membentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

9.4.6 Menyimpan pangkalan data ahli Persatuan yang lengkap mengandungi nama, no. daftar syarikat, nama wakil dan alamat secara salinan cetak atau digital.

9.4.7 Menjalankan segala kerja perhubungan berkenaan dengan hal ehwal Persatuan.

9.5 Penolong Setiausaha Agung

9.5.1 Membantu Setiausaha Agung dalam menjalankan tugasnya.

9.6 Bendahari Kehormat

9.6.1 Bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan kewangan Persatuan dan menyimpan kewangan Persatuan dan menyimpan buku bayaran masuk, buku yuran dan buku kira-kira dengan betul. Menerima semua wang yang dibayar kepada Persatuan dan mengeluarkan resit yang tertentu.

9.6.2 Menyediakan anggaran pendapatan dan perbelanjaan tahunan Persatuan kepada Jawatankuasa Agung.

9.6.3 Bertanggungjawab menyediakan Penyata Kira-Kira Persatuan setahun untuk diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan.

9.6.4 Membentangkan Penyata Kira-kira Tahunan yang telah disahkan oleh Juruaudit kepada Jawatankuasa Agung dan juga kepada Mesyuarat Agung

Tahunan untuk diterima.

9.7 Jika dua pertiga (2/3) atau lebih daripada Ahli Jawatankuasa Agung berhenti dengan serentak, Setiausaha Agung atau salah seorang daripada Jawatankuasa Agung hendaklah memanggil Mesyuarat Agung Tergempar untuk memilih Ahli-ahli Jawatankuasa Agung bagi menggantikannya. Sementara itu Ahli-ahli Jawatankuasa Agung yang ada itu hendaklah mengelola dan mentadbirkan Persatuan hingga terbentuk Jawatankuasa Agung yang baru.

9.8 Jawatankuasa Agung hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga (3) bulan tetapi boleh juga diadakan pada sebarang lain masa yang dikehendaki oleh Presiden ataupun dengan permintaan bertulis oleh satu pertiga (1/3) daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Agung. Notis untuk mesyuarat hendaklah diberitahu oleh Setiausaha Agung tujuh (7) hari terlebih dahulu.

9.9 Lapan (8) orang Ahli Jawatankuasa Agung hadir adalah dianggap sebagai cukup korum untuk Mesyuarat Jawatankuasa Agung.

9.10 Kuasa-kuasa, tanggungan dan kewajipan Jawatankuasa Agung adalah:

9.10.1 Membentuk dasar-dasar dan rancangan-rancangan Persatuan.

9.10.2 Mengawal, mengelola dan memutuskan sebarang perkara yang berbangkit bersabit dengan ahli-ahli.

9.10.3 Mencari ikhtiar dan menjalankan sebarang usaha bersama-sama dengan lain-lain kumpulan atau pertubuhan yang mempunyai tujuan dan objektif yang sama di dalam atau di luar negeri atas perkara-perkara yang berkaitan dengan tujuan-tujuan Persatuan.

9.10.4 Menyelesaikan perselisihan yang berbangkit dalam Persatuan atau berkaitan dengan Persatuan.

9.10.5 Membentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan suatu penyata yang menerangkan pekerjaan dan kemajuan dalam masa setahun yang lepas serta membentangkan kenyataan dari butir-butir kira-kira yang telah diperiksa dan disahkan oleh Juruaudit.

9.10.6 Menghantar kepada ahli-ahli penyata tahunan beserta dengan kenyataan dan butir-butir kira-kira yang telah diaudit bagi setahun yang lepas sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Mesyuarat Agung Tahunan.

9.10.7 Mengadakan peraturan atau syarat-syarat yang tertentu dalam perkara permintaan dan kelulusan hendak menjadi ahli atau pelantikan wakil-wakil atau penama.

9.10.8 Melantik penasihat/penaung Persatuan jika difikirkan perlu.

9.10.9 Menerima peletakan jawatan mana-mana Ahli Jawatankuasa Agung atau memecat mana-mana Ahli Jawatankuasa Agung. Sebelum Ahli Jawatankuasa Agung tersebut dipecat, beliau hendaklah diberitahu sebab-sebab pemecatannya terlebih dahulu. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk membela dirinya. Pemecatan tersebut akan diteruskan melainkan Mesyuarat Agung membatalkannya di atas rayuan ahli tersebut.

9.10.10 Menyelaraskan aktiviti-aktiviti kesemua ahli-ahli dan menyelesaikan selisih faham yang timbul di antara ahli-ahli jika diminta.

9.10.11 Menjalankan sebarang pekerjaan atau apa jua langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan Persatuan amnya.

9.10.12 Menggantung, memecat atau melucutkan mana-mana Ahli Biasa, Ahli Bersekutu dan Ahli Kehormat.

9.10.13 Melantik suatu Jawatankuasa Eksekutif yang mana hendaklah terdiri daripada mereka-mereka yang berikut :

(i) Presiden
(ii) Timbalan Presiden
(iii) Naib Presiden I
(iv) Naib Presiden II
(v) Naib Presiden III
(vi) Setiausaha Agung
(vii) Bendahari Kehormat
(viii) Penolong Setiausaha Agung
(ix) Satu (1) orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif Biasa

9.10.14 Menjalankan atau melaksanakan apa-apa kegiatan yang dianggapkan perlu dan patut bagi kepentingan Persatuan.

9.11 Tugas-tugas, tanggungan dan kewajipan Jawatankuasa Eksekutif adalah :

9.11.1 Pentadbiran Urusetia Persatuan termasuk perlantikan Pengarah Eksekutif dan lain-lain kakitangan Urusetia Persatuan serta hal ehwal kakitangan Urusetia Persatuan.

9.11.2 Merangka dan mengesyorkan perkhidmatan kegiatan dan rancangan bagi kebaikan ahli-ahli Persatuan. Merangka kegiatan dan belanjawan bagi dikemukakan kepada Jawatankuasa Agung untuk kelulusan.

9.11.3 Merancangkan soal-soal kewangan Persatuan serta cara-cara mendapatkan sumber kewangan Persatuan.

9.11.4 Melantik wakil-wakil Persatuan di dalam mana-mana badan, majlis atau kementerian yang memerlukan perwakilan persatuan.

9.11.5 Notis Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif bersama-sama dengan agenda hendaklah dimajukan lima (5) hari terlebih dahulu daripada tarikh mesyuarat.

9.11.6 Empat (4) orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif adalah dianggap sebagai cukup korum untuk Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif.

9.11.7 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah sentiasa tertakluk kepada kuasa Jawatankuasa Agung.

Kongsi artikel ini :
  • X
  • LinkedIn
  • Pinterest

Platform Usahawan Bertaraf global. Ditubuhkan semenjak 1987

Pautan
  • Mengenai Kami
  • Keahlian
  • Buletin
  • Hubungi Kami
Organisasi
  • Visi & Misi
  • Perlembagaan
  • Senarai BIRO
  • Inisiatif Baru
Hubungi Kami
  • Suite 9-5 & 9-6, Aras 9,
    Menara MATRADE West Wing,
    Jalan Sultan Hasji Ahmad Shah,
    50480 Kuala Lumpur
  • +603-6203 2727
  • +6011-2312 3750
  • secretariat.ppipbm@gmail.com

Media Sosial

Facebook Instagram Tiktok

©Copyright 2025. All Rights Reserved. Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia

imunify-bot-check