Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM) ditubuhkan pada tahun 1987 (nama asal adalah Persatuan Pengilang-Pengilang Bumiputra Malaysia) dengan tujuan menyatukan dan mengabung semua usahawan industri pembuatan dan sektor perkhidmatan Bumiputera.
Selama lebih dua dekad beroperasi, PPIPBM telah mendapat sokongan padu daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan terlibat dengan begitu aktif dalam pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera selaras dengan program-program yang dijalankan oleh Kerajaan seperti pembangunan pasaran, pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kewangan, rangkaian niaga dan lain-lain lagi.
PPIPBM juga mendapat pengiktirafan Kerajaan seperti jemputan Dialog Tahunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bajet Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN HEP), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Bank Negara, dan lain-lain. Di samping itu, PPIPBM juga mempunyai hubungan rapat dengan pihak GLC seperti Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airlines System Berhad (MAS), Proton, UEM dan lain-lain lagi.